Wasiat
Luqmanul Hakim Kepada Anaknya
Wahai
anakku ! Elakkan dirimu dari membuat hutang kerana sesungguhnya dengan
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina diwaktu siang hari dan menjadikan
dirimu gelisah di waktu malam hari.
Wahai
anakku ! Sekiranya kedua ibubapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan yang
telah kamu lakukan maka kemarahan kedua mereka itu adalah seperti baja untuk
menyuburkan tanaman.
Wahai
anakku ! Engkau akan dapat rasakan betapa beratnya ketika mengangkat batu yang
besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat dari itu iaitu apabila
kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.
Wahai
anakku ! Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan mengumpul
ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya. Perbuatan ini tak ubah
seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa menambah timbunan kayunya
sedangkan ia tidak mampu untuk mengangkatnya.
Wahai
anakku ! Berhati-hatilah terhadap tutur tata dan bicaramu, peliharalah budi
bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi dan disukai
oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya seolah mereka telah
mendapat barang yang amat berharga darimu.
Wahai
anakku ! Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia terlebih
dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu. Sekiranya dalam
kemarahan itu ia masih mahu menasihati, menyedarkan dan menginsafkan kamu, maka
dialah sahabat yang dicari. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu
terhadapnya.
Wahai
anakku ! Bila kamu mempunyai teman yang karib maka jadikanlah dirimu sebagai
seorang yang tidak mengharapkan sesuatu apapun darinya sebaliknya biarkanlah
temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu darimu.
Wahai
anakku ! Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan
segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak menciptakan kamu hanya
untuk kehidupan di dunia sahaja. Ketahuilah tidak ada makhluk yang lebih hina
selain dari mereka yang telah diperdayakan oleh dunia.
Wahai anakku
! Janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu
berjalan jika tiada arah hala tujuan, janganlah kamu bertanya tentang sesuatu
yang tidak memberi apa-apa faedah pun kepadamu dan janganlah kamu mensia-siakan
hartamu pada jalan maksiat.
Wahai
anakku ! Sesiapa yang bersifat penyayang sudah tentu dia akan disayang, sesiapa
yang bersifat pendiam sudah tentu dia akan selamat dari mengeluarkan perkataan
yang sia-sia. Ketahuilah sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari mengeluarkan
ucapan kotor, sudah tentu ia akan menyesal kelak.
Wahai
anakku ! Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan berilmu.
Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya.
Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang
dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami air hujan.
Wahai
anakku ! Sesungguhnya kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah kapal yang
belayar di lautan dalam dan telah banyak manusia yang karam didalamnya. Jika
kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, isi
kandungannya ialah iman sedang layarnya pula ialah tawakal kepada Allah.
Wahai
anakku ! Bila kamu menerima dua undangan majlis, satu majlis perkahwinan dan
satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah majlis kematian kerana
dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat,
sedangkan dengan menghadiri majlis perkahwinan akan mengingatkan kamu kepada
keseronokkan dunia sahaja.
Wahai
anakku ! Janganlah kamu terus menelan apa saja yang kamu rasa manis dan meludah
setiap apa yang kamu rasa pahit. Ingatlah, tidak semua yang manis itu akan
menjadikan kita segar dan tidak semua yang pahit itu akan menjadikan kita
segar.
Wahai
anakku ! Janganlah kamu makan dengan terlalu kenyang yang berlebih-lebihan.
Sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan
kepada anjing sahaja.
Wahai
anakku ! Carilah harta di dunia ini sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah
hartamu yang selebihnya pada jalan Allah sebagai bekalan di akhirat. Janganlah
kamu membuat dunia ini kelak dirimu akan menjadi pengemis dan membebankan pula
orang lain tetapi jangan pula kamu terlalu mengejar dunia sehingga terlupa
bahawa kamu akan mati. Ketahuilah, apa yang kamu makan dan pakai itu semuanya
dari tanah belaka.
Wahai
anakku ! Jangan kamu melantik seseorang yang cerdik sungguh. menjadi utusanmu.
Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang sebaiknya dirimu
sendirilah yang menjadi utusan.
Wahai
anakku ! Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang
yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi
orang yang insaf dan sedar setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk
mendapat kemulian dari Allah.


No comments:
Post a Comment